Skip to content

Membina Bangunan ‘Insan’ Yang teguh

February 11, 2010

Oleh: Dr^Waqipedia

Biasa tak bermain istana pasir di tepi pantai? Tinggal di Pulau Labuan selama empat tahun dan banyak masa saya habiskan di tepi pantai sepanjang hari minggu. Dan selain mandi-manda, bermain pasir atau membina bangunan pasir adalah satu kemestian. Saya ingat lagi pertama kali membina bangunan pasir yang tinggi, tak sampai beberapa minit ia terus roboh dan pecah. Selepas gagal dalam beberapa percubaan, saya cuba mengeraskan pasir yang menjadi ‘binaan dalam’ dengan air laut dan meletakkan batang kayu sebagai pasak di tengahnya. Alhamdulillah bangunan pasir itu dapat bertahan lama sehinggalah ia dirobohkan oleh pakcik saya.

Pada ketika itu, saya terfikir bagaimana kontraktor-kontraktor membina rumah atau bangunan-bangunan pencakar langit. Walau secantik manapun luaran sesebuah bangunan, pasti ia takkan bertahan lama dan roboh jika ‘binaan dalam’nya atau pasaknya tidak kukuh. Apabila dikaji dengan lebih mendalam, saya juga mendapati di peringkat awal binaan juga, ia memerlukan pemantauan lebih terutamanya dari segi penyusunan batu bata dan konkrit.

Itu berkenaan pembinaan sebuah bangunan yang teguh. Bagaimana pula dengan proses pembinaan ‘insan’? Bilakah ianya bermula dan apakah keutamaan dalam menyusun ‘bahan binaan’ yakni proses didikan dalam tumbesarannya?

Tanggungjawab Ibu Bapa Sebagai Pelabur Akhirat?

Kata orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kata seorang ustaz pula, mendidik anak biarlah dari kandungan ibunya. Menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarga adalah seperti bertambahnya penumpang di dalam sesebuah kenderaan. Si suami sebagai ‘driver’ dan si isteri sebagai ‘co-pilot’. Jika kedua-duanya cuai dan mengabaikan tanggungjawab dalam ‘memandu’, pasti berlakunya kecelakaan dan kemalangan. Jadi perancangan yang rapi perlu ada dalam proses ‘pemanduan’ ke destinasi yang ingin dicapai dan pada masa yang sama mempersiapkan si anak untuk menggantikan tugas bapa sebagai ‘driver’.

Itu soal hala tuju di dunia. Bagaimana dengan akhiratnya? Cuba kita telitikan kata-kata Ibnu Al-Qayyim, di mana pada hari Kiamat nanti, Allah SWT akan meminta pertanggungjawaban setiap ibu bapa terhadap apa yang telah mereka lakukan kepada anak-anak mereka sebelum meminta pertanggungjawaban anak terhadap ibu bapanya. Dalam ayat mudahnya, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anaknya.

Dalam pemerhatian saya, ia samalah dengan konsep pelaburan seperti emas, ‘funds’, ‘stock’ atau hartanah. Jika betul pilihan yang dibuat semasa memilih sesuatu pelaburan, pemantauan sentiasa dibuat, maka dividen atau keuntungan yang diperolehi adalah berganda. Tetapi, jika silap dalam memilih, pengabaian dalam pemantauan, tidak ‘beware’ dengan krisis yang bakal berlaku, maka bersedialah untuk menerima kerugian yang besar dan kemungkinan diisytiharkan muflis.

Kesimpulannya di sini, pendidikan anak-anak merupakan pelaburan jangka masa panjang setiap ibu bapa, samada untuk dunia mahupun akhirat.

Walaubagaimanapun, berapa ramai kaum ibu dan bapa yang menyedari perihal ini?

Membina Bangunan ‘Insan’

Jika dikaji situasi pada masa kini, remaja lebih tertarik kepada hiburan yang dilambakkan di kaca TV atau radio. Jika tidak pun, mereka disibukkan dengan sukan atau perkara-perkara lain. Salahkah untuk berlibur atau bersukan? Pastinya tidak. Tetapi bagaimana pula dengan pendidikan akhlak, iman dan Islam yang sepatutnya diterapkan di awal usia kanak-kanak dan remaja. Inilah poin utama yang cuba saya sampaikan di sini di mana keutamaan di dalam pendidikan anak-anak atau diri dalam Islam adalah bermula dengan kasih sayang, iman, ibadah, akhlak dan seterusnya kemasyarakatan yang mencakupi pembelajaran, sukan dan kemahiran social. Inilah peringkat-peringkatnya yang digariskan berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Seorang menteri, mengatakan di dalam suatu ucapannya bahawa pihak kerajaan akan menekankan aspek2 pendidikan di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti, melatih bakat bersukan dan mengembangkan aspek-aspek seni seperti tarian dan lain-lain. Persoalannya di sini, di manakah penekanan terhadap didikan iman dan akhlak yang sepatutnya menjadi benteng dan lapisan ‘dasar’ dalam diri seseorang. Menyusun ‘batu bata’ biarlah mengikut keutamaan dan serapi mungkin supaya lahirnya generasi pewaris yang diberkati Allah SWT.

Jika tidak, akan lahirlah personaliti yang bijak tetapi licik dan tidak berakhlak akibat tiadanya didikan yang ‘iman’. Bertambah-tambahlah permasalahan social, maksiat berleluasa dan kes-kes jenayah. Inilah bencana dunia yang sebenar hasil daripada pendidikan teras yang kurang sempurna.

Siraman Iman

Didikan iman amat bersangkut paut dengan didikan hati. Renungkan kata-kata Sheikh Mustapha Masyhur yang mengumpamakan hati seperti pokok-pokok dan tumbuhan. Bayangkan jika tumbuhan atau pohon itu tidak dibajai atau disiram dengan air, maka ia akan layu dan kering. Begitu juga hati, perlunya siraman iman – Al-Quran dan peringatan yang berterusan.

Jika tiada pemahaman terhadap kata-kata di atas, nilaian kita adalah tertumpu dan terfokus kepada dunia semata-mata dan berdasarkan akal dan hawa nafsu.

Kesimpulan di sini, tulisan ini bukanlah untuk mengajar bagaimana mendidik anak tetapi adalah untuk;

  1. Memahami intipati dalam pembentukan kendiri seseorang supaya terhasilnya seorang ‘khalifah’ yang berkualiti; punya iman dan ilmu, baik akhlaknya, mampu beramal dengannya dan menyumbang kepada Islam seluruhnya. Mereka inilah harapan dan pewaris generasi akan datang.
  2. Anak atau pewaris adalah pelaburan masa depan, dunia dan akhirat.

‘Marilah melihat dunia dari kaca mata akhirat’

 

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: