Skip to content

Erti Kemerdekaan

September 1, 2009

Oleh: Dr^Waqipedia

“Hati yang mencari kebahagiaan, adalah hati yang mencari kemerdekaan…dan kemerdekaan yang hakiki adalah tunduk kepada Ilahi…”

child_merdeka

Hari ini 31 Ogos 2009, hari kemerdekaan Malaysia yang ke-52. Merdeka. Ini bermakna umur negara tercinta Malaysia sudah menjangkau separuh abad. Suatu jangka masa yang matang untuk melakukan perubahan dan pembangunan, seiring dengan globalisasi yang berlaku di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, semakin jauh usia meninggalkan kita, semakin ramai yang lupa akan erti kemerdekaan ini. Tahu, memahami dan menghayati erti kemerdekaan.

Meniti Waktu Lalu

Ketika usia kanak-kanak, setiap kali tiba hari kemerdekaan, saya akan menyertai peraduan melukis dan mewarna. Bakat yang ada dan sedikit usaha kadang-kadang membawa hasil yang berganda. Selalu juga memenangi peraduan-peraduan tersebut. Tetapi jika ditanya apa itu merdeka dan apa perasaan menyambut merdeka, jawapannya, ‘Entah…’

Generasi muda seperti saya adalah golongan yang tidak pernah merasai keperitan hidup di zaman penjajahan mahupun menghadapi keperitan hidup untuk bangkit daripada kemiskinan atau kemunduran. Generasi muda sekarang semuanya cukup, daripada McDonald, KFC, komputer, kereta, internet dan lain-lain. Pada saya, keselesaan dan kemewahan ini tidak mampu untuk mendidik hati-hati generasi muda ke arah menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Lihatlah bagaimana pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air seperti Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain yang berkorban harta dan nyawa untuk mendapatkan pembebasan dari cengkaman luar seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Sejarah perjuangan yang cukup panjang, sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945. Mereka memilih untuk bebas, tidak dijajah tanah air mahupun tunduk dan patuh kepada orang luar yang hanya mahupun keuntungan. Mereka mahu tanah air dan bangsa yang dibina dengan sistem sendiri, tidak terkongkong dengan sistem hidup Barat yang merosakkan. Itulah nilai kemerdekaan bagi mereka dan demi mencapainya, pengorbanan, jerit perih dan kesusahan hidup bukanlah satu perkara yang besar kerana mereka sedar akan tanggungjawab dan matlamat yang perlu dicapai.

Ayah saya, merupakan seorang anak petani yang miskin. Bangun seawal pukul 4 pagi untuk membantu datuk saya di bendang dan pada pagi hari, beliau akan berjalan sejauh hampir 5 batu untuk pergi ke sekolah. Balik sekolah hampir dini hari, masih lagi membantu datuk saya menguruskan hal-hal berkaitan. Malam pula diisi masa dengan mengulangkaji pelajaran dan belajar ilmu agama. Inilah rutin hidupnya setiap hari di zaman sekolah rendah. Cukup berbeza dengan kita sekarang yang dihantar dengan kereta atau bas. Itupun masih lagi lambat. Jika pulang ke kampung di Ketereh, masih ada lagi nostalgia-nostalgia lama iaitu rumah aka pondok kecil, tempat tinggal ayah saya sekeluarga dulu. Sekecil pondok menunggu bas.

Oleh kerana itu, ayah saya lebih memahami erti keperitan hidup, cuba bangkit mengubah kehidupan keluarga, bercita-cita untuk memberi keselesaan yang lebih kepada ibu bapanya yang tercinta. Kefahaman dan penghayatan terhadap pengalaman hidup membawa kepada usaha dan tawakal yang berganda. Dan apabila kejayaan dicapai, nilainya begitu besar untuk dikenangi dan dihayati. Mungkin itu adalah jua suatu bentuk kemerdekaan.

Dua contoh yang saya berikan adalah dua contoh yang pernah dihadapi oleh masyarakat kita pada beberapa dekad yang lalu. Oleh kerana itu, masyarakat dahulu berusaha untuk keluar dari kepompong penjajahan orang luar dan sekaligus membebaskan diri daripada cengkaman kemunduran dan kemiskinan. Tapi bak kata ayah saya, ini hanyalah kemerdekaan fizikal.

Namun, bagaimana pula dengan sekarang? Apa pula bentuk penjajahannya?

Realiti Penjajahan Moden

Era globalisasi yang melanda dunia semenjak beberapa dekad lalu telah membawa kepada suatu bentuk neoklonialisme Barat. Suntikan neoklonialisme ini menyerap bersamanya indoktrinasi kebebasan, liberalisme-kapitalisme, hedonism dan gaya hidup individualistik dan ia menyusup ke dalam setiap segi daripada hiburan, ekonomi mahupun kebudayaan.

Serangan-serangan ini menyerang minda masyarakat sekarang sedikit demi sedikit dan akhirnya menjadi barah yang membawa kepada permasalahan sosial di kalangan muda-mudi serta orang dewasa. Jika dikaji dengan lebih mendalam, nampak akan kecenderungan masyarakat terhadap keseronokan dan hiburan semata-mata. Pengorbanan generasi lalu yang sepatutnya menjadi inspirasi untuk maju lebih ke depan diabaikan. Inilah penjajahan bentuk baru yang membawa kepada permasalahan hati dan lain-lain.

Jadi, inilah perjuangan baru kita untuk kebebasan dan kemerdekaan. Menghadapi dan menyelesaikan masalah hati dan minda yang terperangkap, mengisi kemerdekaan erti kata yang sebenar.

Perspektif Merdeka

Menjalani usia-usia remaja, menghadapi cabaran dan perit hidup, saya mula belajar erti kebebasan dan kemerdekaan. Saya memahami ia sebagai sebuah fitrah semulajadi manusia, sentiasa menginginkannya, mengejarnya demi diri sendiri atau cita-cita. Kemerdekaan memberi kebebasan untuk memilih hidup tanpa kongkongan. Kemerdekaan membenarkan kita memiliki diri sendiri, membina impian dan mengatur langkah untuk mencapai impian tersebut. Kemerdekaan juga menjadikan bumi ini luas untuk diterokai dan menjadikan jiwa kita hidup, berkembang tanpa batasan.

Walaubagaimanapun, pengertian setiap manusia terhadapnya adalah berbeza-beza samada dari sudut pengertian, bentuk kemerdekaan itu dan usaha yang perlu dilakukan untuk mencapainya. Jika ingin diikut kefahaman sendiri, merdeka itu bebas. Bebas untuk bertindak apa sahaja, tiada peraturan, hanya mengikut hawa nafsu sendiri tanpa ada susun atur dan undang-undang.

Memperjuangkan kefahaman dan pandangan masing-masing atas landasan hawa nafsu dan logik akal bakal membawa pertembungan antara dua pihak berbeza pegangan dan percanggahan ini boleh membawa kepada krisis sehingga lahirlah pelbagai bentuk jenayah dan kerosakan di muka bumi ini. Huru hara pasti berlaku yang akhirnya menimbulkan kebimbangan dan ketakutan dalam jiwa kita.

Apakah dalam keadaan jiwa yang tertekan ini diistilahkan sebagai jiwa merdeka? Ini hanyalah kemerdekaan palsu. Lihatlah gambaran yang dberikan oleh Allah SWT dalam Surah Ar-Rum ayat 41;

“Lahirlah kerosakan di daratan dan di lautan oleh kerana usaha manusia sendiri sehingga Ailah merasakan kepada mereka sebahagian dari azab perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar. ”

Kemerdekaan seperti ini hanyalah umpama azab dan neraka dunia. Jadi, apakah pula kemerdekaan hakiki?

merdeka-atau-mati_resize

Kemerdekaan Hakiki

Kemerdekaan hakiki bukanlah kebebasan daripada kemunduran, kemiskinan mahupun penjajahan tanah air kerana ia bersifat sementara dan fizikal. Faktor penentu untuk kemerdekaan hakiki adalah pada hati dan persepsi diri. Dan ini dapat dikecapi melalu perhambaan kepada Allah SWT, bukan kepada entiti-entiti lain. Tidak kepada nafsu, tidak kepada kebendaan atau kehendak masyarakat.

Rasa hamba ini, sujud seorang Muslim kepada Allah SWT seperti yang ditegaskan oleh Syed Qutb, merupakan lambang ketinggian dan kemuliaan serta syiar kemerdekaan hakiki.

Logiknya? Orang yang hatinya penuh dengan rasa kehambaan kepada Allah SWT tidak takut untuk memperjuangkan kebaikan atau sesuatu yang hak. Memperjuangkan hak untuk memiliki tanah air, berjuang untuk keluar daripada kepompong kemiskinan demi kemaslahatan ummah, dan berjuang untuk memilih Islam sebagai sistem hidup. Lihatlah seperti rakan-rakan kita di Palestin, biarpun tanah air terjajah tetapi hati dan minda mereka bebas. Mereka bangga dengan perjuangan mereka, menuntut kebebasan tanah air dan memperjuangkan Islam.

Lihat juga contoh generasi awal Ikhwanul Muslimin yang rela ditangkap, dipenjara dan diseksa kerana berjuang untuk membawa syiar dan sistem hidup yang lebih baik untuk masyarakat Mesir. Mereka berjuang bagi mengubah corak pemikiran sekular masyarakat ke arah pemikiran yang lebih murni. Mereka inginkan perubahan dan kemajuan. Kerana itu, mereka rela berkorban.

Inilah hakikat kemerdekaan yang sebenarnya dan hakikat inilah yang terlalu sukar dicapai melainkan kita balik kepada keimanan dan ketundukan kepada Allah SWT. Pesanan seorang ustaz dalam tazkirahnya;

“Kita akan merdeka sekiranya kita menjadikan Alllah SWT sebagai Ilah dan Rabb kita dan membebaskan diri kita daripada ketuhanan yang lain. Kita merdeka dengan membebaskan diri kita dari perhambaan kepada nafsu diri atau nafsu orang lain. Kita tunduk pada sistem Allah dan mengingkari sistem-sistem lain. Kita merdeka apabila meletakkan perjuangan untuk menegakkan sistem Allah SWT ini sebagai perjuangan kemerdekaan untuk seluruh manusia.”

Inilah inspirasi yang perlu ditanam dalam diri kita, sebagai seorang Muslim yang mahukan perubahan ke arah yang lebih baik. Inilah kemerdekaan yang kita dan ramai lagi dambakan. Pesanan Syed Qutb,

“Dia merdeka. Hanya menerima segala tasawwur, sistem, cara hidup, syariat, undang-undang, nilai dan neraca pertimbangan dari Allah sahaja. Jadilah dia sama dengan manusia lain, berdiri pada taraf yang sama. Mengadap tuan yang satu dan tidak menjadikan sebahagian daripada mereka sebagai Tuhan, selain dari Allah.”

Inilah kemerdekaan yang saya harapkan dan mahu dikongsi bersama-sama rakan-rakan di luar sana.

Yang pasti, masa akan terus berlalu meninggalkan kita namun perjuangan kemerdekaan perlu diteruskan. Yang berlalu akan tetap bersemadi kukuh di hati dan sanubari. Namun, ambillah yang semalam sebagai pengajaran, esok sebagai harapan dan hari ini sebagai medan berjuang.

[Coretan 4.30 pagi, 31 Ogos 2009]

Rujukan:

  1. http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=4509
  2. http://www.ctl.utm.my/merdeka/calon/merdeka2/web-content/sejarah%20erti%20kemerdekaan.html
  3. http://halaqah.net/v10/index.php?page=33
One Comment leave one →
  1. September 1, 2009 2.45 pm09

    salam.. nice entry..

    moga kemerdekaan yang kita kecapi tak melahirkan rasa ‘asabiyah’ yang tinggi hingga menghilangkan nilai ukhwah antara kita dengan saudara2 seaqidah dengan kita di negara2 lain..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: