Skip to content

Menghadap Ilahi

August 25, 2009

Oleh: Dr^Waqipedia

6293_134387436664_589451664_2323357_7450574_n

Selepas berbuka sahur di rumah dengan lauk pauk yang berbaki dari Bidor, Perak bersama-sama Burg dan Ahmad Said, saya bersiap-siap untuk solah tarawih. Hari ini hari ketiga berpuasa dan memang di dalam perancangan, saya ingin meraikannya dengan bertarawih di masjid baru, Masjid Sultan Mizan di Presint 2, Putrajaya. Masjid ini atau nama lainnya Masjid Besi, dibina dengan keupayaan untuk memuatkan 20,000 orang pada satu masa, dengan keluasan 73,000 meter persegi berdekatan dengan Putrajaya Lake. Kenapa dipanggil Masjid Besi? Mungkin kerana 70% binaannya daripada besi dan 30% daripada konkrit. Itu kata-kata orang, mungkin benar, mungkin tidak. Kontraktornya pasti lebih tahu.

Tiba sahaja di Masjid Besi, saya terpaksa naik ke ‘basement parking’, kerana disuruh oleh polis-polis lalu lintas tetapi yang menariknya, ‘basement parking’ nya adalah seperti tempat meletak kereta Shopping Complex Alamanda. Dari luar hingga ke dalam, rasa kagum dengan binaan masjid tersebut biarpun ia belum sepenuhnya siap dibina. Berdetik di dalam hati, “Bagaimanalah jika sudah siap. Tentu lagi cantik. Harapnya, ia diimarahkan dengan sebaik mungkin, bukan setakat perhiasan untuk tatapan mata malah diabadikan dan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan penambahbaikan masyarakat. Insyallah….Positif!!” Tersenyum sendirian. Terselit rasa bangga akan Tun Mahathir yang telah mengilhamkan dan merealisasikan Bandar Putrajaya dan Cyberjaya ini.

Di ‘basement parking’, seperti biasa ada petak-petak kosong tetapi yang dekat dengan pintu masuk ke ruang solah sudah penuh. Meninjau keadaan persekitaran, nampak ada peluang ‘parking’ di sebelah pintu masuk biarpun tiada petak kosong. Terus sahaja saya ‘melabuhkan bahtera’ kereta di tepi pintu masuk dan sejurus sahaja kereta saya ‘parking’ di situ, berduyun-duyun kereta mengikut. Tersengih saya sendirian.

Cepat-cepat saya bergerak ke tempat wudhu’. Memang besar tempatnya, dan kelihatan seperti ‘internal design’ tempat air zamzam di Mekah. Sambil menekan paip, air mengalir keluar. Sejuk, hati berdetik. Tiba-tiba suatu perasaan yang tenang dan nyaman menyelinap di kalbu tatkala air menyentuh kulit. Perasaan yang sama bila berada di Mekah dulu, getus hati.

Sambil mengambil wudhu’, banyak perkara melintas di benak fikiran. Teringat bagaimana surat khabar akhir-akhir ini hangat sekali mempromosikan penjagaan kebersihan diri daripada berada di tempat yang ‘crowded’ sehinggalah cara-cara membersihkan tangan. Tidak adakah sesiapa yang terfikir betapa Islam telah lama menggalakkan dan menyuruh umat-umatnya untuk mengamalkan tabiat baik ini? Menjaga kebersihan diri; dan ini terbukti daripada perintah Allah SWT untuk melaksanakan wudhu’ sebanyak 5 kali sehari sebelum mengadap-Nya. Dan apabila digemparkan dengan pandemic Influenza A H1N1, barulah terngadah-ngadah ingin berkempen untuk menjaga kebersihan. Jika kita tergolong di dalam golongan tersebut, maka muhasabahlah diri kerana kita belum melaksanakan lagi intipati Islam itu sendiri iaitu kebersihan. Semoga dengan gemparnya H1N1 ini mampu mengembalikan hati-hati manusia ke jalan yang benar. Menjadi peringatan buat insan-insan yang ‘buta’ akan apa tanggungjawab diri kepada agama dan masyarakat.

Air yang mengalir dipercikkan ke muka sambil membasahi bahagian atas muka beberapa kali. Air yang mengalir ini mampu menyucikan muka sambil membuang kotoran-kotoran, kuman-kuman dan mikroorganisma-mikroorganisma kecil lain yang merbahaya. Dalam hati, alangkah baiknya jika dosa-dosa yang dilakukan dari semalam sehinggalah ke hari ini dapat dibuang semudah itu. Teringat akan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim melalui Uthman Bin Affan,

“Sesiapa yang berwudhu’ lalu memperelokkan wudhu’nya, maka keluarlah dosa-dosanya dari tubuhnya sehinggakan ia keluar daripada hujung-hujung jari.”

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari akhirat nanti dalam keadaan putih berseri pada anggota wudhu’ kesan daripada wudhu’.”

Begitu hebat sekali kesan wudhu’ kepada diri kita sehingga ia mampu kekal sehingga di Akhirat kelak! Tetapi adakah ada antara kita mengambil intipati pembersihan diri melalui wudhu’ sebagai suatu simbol penyucian jiwa? Pasti Allah SWT telah menetapkan wudhu’ menjadi penunjuk kepada pembersihan diri dan secara tersiratnya, sebagai proses penyucian jiwa yang berterusan. Membuang dosa-dosa silam dan hari ini yang cukup banyak. Betapa kerdilnya rasa diri berbanding Allah SWT yang sentiasa memberi peluang kepada hamba-hamba-Nya yang banyak melakukan dosa. Dia sentiasa memaafkan kesalahan hamba-hamba-Nya. Sambil membasahkan kaki kanan dan kiri, saya berdoa semoga dikurniakan sifat pemaaf dan penyayang di hati. Kata-kata pujangga, tiadanya kasih sayang jika tiada kemaafan. Tidak berhak untuk menyintai jika tidak mampu memaafkan.

Azan Isya’ sayup berkumandang. Perlahan-lahan menaiki anak tangga ke ruang solah yang cukup besar. Tiada dinding sebagai pelindung, hanya kolam kecil sebagai pemisah antara luar dan dalam masjid. Udara begitu nyaman. Inilah ‘aircond’ terbaik yang tiada siapa di dunia ini dapat pasarkan. Pandangan dalam masjid tersebut sangat cantik dan luas tetapi pada pendapat saya, apa yang penting, adalah dari segi ventilasi. Ia memang terbaik.

6293_134389941664_589451664_2323379_4028916_n

Kelihatan makmum agak ramai, melebihi jangkaan saya sendiri. Kelihatan imam di barisan depan dan dia nampak muda remaja. Teringat satu-satunya adik lelaki saya, Usamah yang kini di Jordan, masih dalam perjuangan untuk menamatkan kursus ‘Economic & Islamic Banking’. Alangkah baiknya jika dia yang mengimami solah tarawih pada bulan Ramadhan ini. Saya sempat menjadi makmumnya beberapa kali sahaja kerana masalah tempat belajar yang jauh dan masa cuti yang berbeza. Rindu seorang abang kepada adik yang seorang ini memang susah untuk digambarkan atau diluahkan. Ego. Sayang tetapi malu untuk diluahkan. Mempunyai seorang adik yang sebaik dan sehebat Usamah adalah suatu kebanggaan buat diri. Dalam hidup saya, dia adalah antara dua orang yang paling saya kasihi, lebih dari saya mengasihi diri sendiri. Tiada yang lebih menggembirakan saya daripada melihat dia berjaya dan bahagia.

Mencari-cari ‘port’ yang sesuai untuk solah sunat sebelum Isya’, saya mengambil tempat di sebelah seorang pakcik dalam lingkungan 40-an dengan seorang anak kecilnya. Melihat khusyu’nya pakcik itu bersembahyang, teringat artikel dalam majalah Solusi berkenaan rahsia kejayaan khusyu’ dalam solah. Khusyu’ mempunyai perkaitan rapat dengan kejayaan. Lihatlah, apabila azan diserukan, ‘marilah solah, marilah menuju kejayaan’, ia memberi tanda penting akan kepentingan solah di dalam menuju kejayaan dunia serta akhirat. Tetapi solah yang sempurna tidak lengkap tanpa khusyu’ di hati. Khusyu’ pada umumnya bermaksud akur, tunduk dan patuh. Solah yang khusyu’ adalah solah yang seluruh pencainderanya termasuk hati dan fikiran tunduk, patuh dan fokus hanyasanya kepada Allah SWT. Impak daripada khusyu’ ini yang membawa kepada resipi kejayaan diri.

Tetapi segala-galanya berbalik kepada hati. Hati yang kucar-kacir, hati yang serabut, hati yang tiada hubungan dengan Allah SWT tidak akan mencapai rasa khusyu’ ini. Sememangnya tidak mudah untuk dihuraikan perkara ini. Mudah dihuraikan dalam teori tetapi dari segi pengaplikasian, ia bergantung kepada diri masing-masing. Insyallah, semoga dengan munculnya Ramadhan, kita dapat melatih hati untuk ‘berhubung’ dengan sentiasa mengingati Allah SWT. Lupakan masalah dunia, lupakan kerja-kerja yang belum selesai dan lupakan cinta-cinta dunia.

Terkenang sahabat-sahabat Rasullullah SAW yang begitu hebat khusyu’nya sehingga anak panah yang tercucuk di badan boleh ditarik begitu sahaja tanpa ubat bius. Jika diri ini, pasti sudah melaung melolong kesakitan. Terasa malu kepada mereka, golongan-golongan awal yang berjuang sehingga sanggup berkorban nyawa, meninggalkan keluarga dan orang yang dikasihi, demi memegang tanggungjawab yang diberikan oleh Allah SWT. Mereka mempunyai roh perjuangan. Dan kita, tugas kita adalah memastikan bara itu tidak padam, terus menyala biarpun malap. Jalan ini berliku, maka tidak ramai yang memilihnya. Tetapi orang yang memilihnya adalah orang yang terpilih, mereka-mereka yang bakal menikmati kejayaan yang manis di dunia dan akhirat kelak.

prayer_doa

Saya menunaikan solah dua rakaat. Di tahiyat terakhir, saya terbayang jika ada orang yang menembak saya dari belakang, beruntunglah diri kerana mati di dalam solah. Memberi salam, saya memanjatkan doa kepada Ilahi supaya dimakbulkan doa-doa dan permintaan diri. Salah satu daripada dua cita-cita yang terakhir dan impian saya adalah untuk mati syahid pada usia dalam 35 tahun (umi saya minta tukar doa ini… (>_<) )daripada sekarang, setelah saya mencapai segala impian dan cita-cita yang saya catatkan di dalam buku scrap hitam. Setiap muka dalam buku itu ada tulisan dan beberapa gambar dan setiap muka helai buku tersebut saya catatkan apa yang akan saya kecapi dan capai dalam lingkungan masa yang ditetapkan. ‘This is how Law of Attraction will work on me. Together with hard work, perseverance and do’a, I’ll achieve what I want.’

Mungkin ramai yang akan ketawa terbahak-bahak tetapi ini jalan yang ingin saya pilih. Cukuplah jika saya berjuang mencapai impian saya menjadi seorang pakar bedah yang terbaik, yang pada masa yang sama mendominasi ekonomi Malaysia sebanyak 20% dan jika diizinkan Allah SWT, mendominasi ekonomi dunia. Dan ‘by the time, I reach my dream’, saya berdoa moga Allah SWT mengabulkan salah satu daripada impian terakhir saya iaitu syahid. Jauhkan saya daripada fitnah dunia, jauhkan diri daripada nafsu syahwat dan nafsu ingin memiliki yang berlebihan. Sudah terlalu penat melihat kebobrokan manusia di kaca TV dan surat khabar Harian Metro. Rasuah di sana sini, keluarga yang bercerai berai, masalah sosial yang cukup teruk dan hiburan yang terlalu berleluasa. Di manakah cinta sesama saudara, di mana kasih cinta yang dijanjikan oleh si suami kepada isteri ketika bermadu asmara, di mana hala tuju hiburan yang tidak pernah habis dan di manakah ingin dibawa harta-harta yang banyak jika badan pasti dikandung tanah?

Jika saya diberi 5 kehidupan sekalipun, memiliki 5 pekerjaan yang berbeza, tinggal di 5 tempat yang berbeza, membesar dalam 5 suasana yang berbeza, saya hanya ingin memilih jalan ini, berjuang mencapai impian…dan jika diberi peluang untuk mencintai, saya ingin mencintai hati yang mendokong perjuangan diri. Cukuplah satu, semoga berkekalan hingga ke syurga. Memahami tanggungjawab dan melaksanakannya adalah lebih besar daripada segala-galanya. Dan pengorbanan adalah suatu perkara yang tidak dapat lari daripadanya. Firman Allah SWT, dalam Surah Al-An’am ayat 6;

“Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, tuhan seluruh alam,”

Semoga perjalanan hidup saya selama beberapa tahun ini menjadikan diri selangkah demi selangkah menghampiri Allah SWT. Biarpun selalu melencong dan terlalai, moga disedarkan kembali dan diluruskan kembali jalan-jalan yang tersasar. Bercakap dan berjanji adalah perkara yang mudah tetapi mengotakan dan merealisasikan apa yang dikatakan adalah susah. Bagi saya, menjadi lelaki, menjadi seorang Muslim, nilaiannya adalah di atas besarnya seseorang itu memikul tanggungjawab dan janji-janji yang dimaktubkan.

Inilah jalanku, inilah impianku.

Iqamah daripada bilal mengejutkan saya daripada lamunan. Saya bangun, pergi ke saf yang terdekat dan bersama-sama makmum yang lain, mengangkat takbir untuk solah Isya’ berjamaah.

Inilah malam pertama saya di Masjid Besi.

3 Comments leave one →
  1. Dr^Waqipedia permalink*
    August 27, 2009 2.45 pm08

    http://shethismyname.blogspot.com/2009/08/impian-saya-adalah-untuk-mati-syahid.html

    i hope i can do my very best to touch human’s heart, to know, & understand the beautiful of islam. i want to be a doctor who can cure people, physically and also spiritually. ‘jika baik seketul daging dlm badan manusia, maka baiklah keseluruhannya, dan daging itu adalah hati’.

    i’m not perfect, always do mistakes but i hope i can left this world, leaving a legacy of generation who love islam as much as they love their family & themselves.

    TQ sheth, thanks for the prayer…may allah swt gives us strength to realize this mission..islam won’t stand up without a great unity & understanding…dat’s y i believe in ukhuwwah, trusting our brothers like we trust ourselves..

    insyallah..may allah swt bless us…

  2. Abu Bakar Abdul Majid permalink
    August 28, 2009 2.45 am08

    Alhamdulillah, a very good write-up on ‘Menghadap Ilahi’ that can nurture ‘passions to care’ philosophy in the holy month of Ramadan.

  3. Dr^Waqipedia permalink*
    August 29, 2009 2.45 pm08

    TQVM prof…feels awkward to be appraised by u.sincerely not expecting u’ll read my slothful writing.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: