Skip to content

Ujian Hidup; Suatu Medan Bermuhasabah

June 28, 2009

Oleh: Dr^Waqipedia

600-00917146

Apabila ditimpa musibah, kesusahan atau ujian dalam kehidupan, ramai yang mengeluh, “Banyaknya ujian hidup”, “Kalau macam ni, baik tak payah hidup, mati lagi baik”,”Sia-sia saja aku doa, takde bezanya pun, hidup susah jugak” dan bermacam-macam lagi.

Selalu saya berpesan kepada diri, rakan-rakan, kenalan malahan pesakit-pesakit saya supaya itu adalah ketentuan Allah SWT. Dia amatlah mengasihi hamba-hamba Nya dan Dia mengetahui kelemahan, kekuatan, baik dan buruk setiap seseorang. Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216, Allah bersabda,

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”

Hidup ini umpama roda, kadang-kadang kita di atas, kadang-kadang kita di bawah. Kadang-kadang kita diberi kesusahan, kemiskinan dan kesedihan tetapi kadang-kadang kita diuji dengan kegembiraan, kemewahan dan kesenangan. Kata-kata seorang sahabat, diuji dengan kesusahan, kita akan lebih mudah untuk menyedari, menyelidiki dan memperbaiki diri tetapi duji dengan kesenangan, untuk sedar dan bangkit daripada kealpaan, bukan suatu perkara mudah. Contoh terbaik adalah di sekeliling kita. Menjadi pelajar perubatan yang masanya banyak diisi untuk bersama dengan pesakit, saya kerap kali mendengar keluhan mereka-mereka yang ‘berjaya’ dalam karier, mewah dari segi material tetapi merasa kecewa dan ‘frust’ akan kehidupan sendiri. Keluarga porak peranda, hati tidak bahagia dan ketenangan yang dicari hanyalah ketenangan yang sementara.

Menghadapi ujian dalam kehidupan, dalam konteks kita sebagai Muslim adalah untuk melahirkan kembali rasa kehambaan dan perlunya tempat bergantung kepada Si Pencipta. Berusaha mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah atau ujian perlulah disertai rasa hina diri kepada Allah SWT. Ini adalah pancaindera keenam atau ‘sixth sense’ yang ada pada hati-hati yang sedar akan bahawa hidup di dunia adalah sementara dan akhirat itu kekal abadi. Walaupun begitu, jika diuji tetapi hati tidak merasa apa-apa, maka selidikilah hati.

Pesanan Rasullullah SAW mengenai hati,

“Manusia itu dua matanya ibarat petunjuk, dua telinganya ibarat pemberi isyarat awas, lisannya sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap, dua kakinya ialah perutusan, hatinya pula sebagai raja. Kalau rajanya baik, maka baiklah bala tenteranya.”

Dalam suatu hadis lain, Rasullullah SAW juga bersabda,

“Dalam tubuh manusia terdapat segumpal darah, jika baik gumpalan darah itu, maka baiklah seluruh tubuhnya, jika buruk gumpalan darah itu maka buruklah kesemuanya, ketahuilah bahawa gumpalan darah itu ialah hati.”

Dalam hadis-hadis tersebut, hati disebut sebagai ‘Qalb’ kerana ia raja kepada seluruh tubuh. Lemahnya hati, akan mempengaruhi fizikal dan mental diri seseorang. Untuk menguji kekuatan hati, ia bergantung kepada ketahanan diri dalam menghadapi ujian dan halangan dalam hidup.

Kesilapan yang biasa dilakukan adalah selalu meletakkan diri dalam situasi atau keadaan yang ‘complacent’ atau ‘comfortable’, menyebabkan apabila diberi ujian, adaptasi terhadap situasi tersebut menjadi sukar kerana kurangnya ketahanan diri. Kadang-kadang, apabila selalu diuji dengan kesusahan, Allah SWt memberinya kemudahan secara tiba-tiba, dia menjadi alpa, lupa diri dan berada diawang-awangan. Ini adalah situasi yang paling merbahaya kerana kita berada dalam keadaan yang cukup sempurna dan apabila tersedar daripada lamunan, barulah menyedari akan keterlanjuran diri. Ketika itu, tiada gunanya untuk dikesali atau ditangisi akan kesilapan diri.

Fitrah manusia, apabila diuji dengan kesusahan, mereka amat memerlukan pertolongan dan pergantungan, samada untuk meluahkan isi hati atau mengharapkan bantuan. Kesilapan manusia ialah apabila mereka silap memilih tempat bergantung, meluahkan dalam bentuk yang tidak sesuai atau meletakkan sepenuhnya pengharapan kepada manusia. Ujaran sinis kepada mereka yang meletakkan sepenuh pengharapan kepada manusia, merasa cukup tanpa pergantungan kepada yang lebih berkuasa iaitu Allah SWT, “Bagaimana yang memerlukan, boleh bergantung kepada yang memerlukan?”. Jadi, fikirkanlah.

Oleh itu, apabila menghadapi ujian atau musibah, tiga perkara dapat kita lakukan,

  1. Hadapi dengan kesedaran bahawa Allah SWT pasti menolong hamba-Nya, samada cepat atau lambat
  2. Hadapinya dengan penuh istiqamah, terus tetap dan percaya kepada pegangan yang benar
  3. Berdo’a semoga diberi kemudahan dan kekuatan dalam diri serta mengharapkan segala yang berlaku, akan ditunjukkan kebenarannya pada suatu hari nanti

Anggaplah ujian hidup sebagai suatu medan untuk memuhasabah diri, memperbaiki kelemahan diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Resminya manusia, semakin diuji, semakin kuat seseorang itu dan semakin tegar dan kejap dalam menghadapi ujian mendatang. Tidak longlai apabila kehilangan segalanya, mampu bangkit apabila terjatuh. Jadi berbahagialah, halangan yang dihadapi adalah ujian yang dipilih oleh Allah SWT kepada kita, untuk kebaikan diri kita jua demi menjadi ‘seseorang yang lebih baik dari semalam’.

Ujian dan muhasabah diri adalah unsur penting dalam kehidupan. Dalam buku karangan Dr Khalid Bin Abdul Aziz Al-Jubair, seorang pakar bedah jantung di Arab Saudi yang bertajuk ‘Kesaksian seorang Doktor’, beliau menggariskan tiga cara mudah dalam merefleksi dan memperbaiki diri.

  1. Apabila kepala diletakkan di pembaringan, bacalah doa-doa sebelum tidur (sebaik-baiknya membaca Surah Al-Mulk @ 3 Kul) dan ingatkan kembali amal perbuatan kita, baik atau buruk, dari pagi hari sehingga malam
  2. Mulakan dengan mengingati perkara berkaitan syahadat, solah, zakat, sedekah dan hal-hal berkaitan rukun iman. Beristighfarlah kepada Allah Swt, bertaubat dan tangisilah ia jika mendapati banyak kepincangan dalam aspek ini. Semoga Allah Swt memperkenankan taubat kita.
  3. Kemudian, ingatkan hal-hal hubungan anda dengan makhluk Allah Swt, dgn orang tua, rakan-rakan, guru-guru dan lain-lain. Adakah kita menjaga hak-hak mereka sepertimana kita menjaga hak-hak diri kita? Jika ada hak-hak mereka belum kita tunaikan, maka berjanjilah dengan sepenuh hati untuk memperbetulkannya.

Bagi sesiapa yang menjaga hubungannya dengan Allah SWT, maka Allah SWT akan menjaga hubungannya dengan manusia.Ia nampak mudah tetapi sulit untuk dilakukan. Entah berapa banyak kesilapan kita lakukan kepada mereka-mereka di sekitar kita, mencalari dan menyakiti hati mereka dan perkara ini menyumbang kepada ‘pembersihan diri’ daripada Allah SWT, yakni ujian-ujian dalam hidup. Jika ditunjukkan oleh Allah SWT di dunia lagi, maka beruntunglah kita kerana sempat memperbaiki diri tetapi jika ia dibawa ke akhirat, bayangkan betapa sengsara untuk menebusnya di akhirat kelak.

Imam Hasan Al-Basri berpesan “Seorang mukmin adalah panglima untuk dirinya sendiri, ia mengatur dan memuhasabah dirinya sendiri kerana mengharapkan keredhaan Allah Swt (mardhatillah)”.

Pesanan terakhir,

“Carilah hatimu di tiga tempat..Carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran.Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak engkau temui, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika engkau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru, kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati….”

Catatan: Pukul 1.00 pagi, Jumaat, 27 Mac 2009

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: