Skip to content

Cukuplah Kematian Sebagai Peringatan Buatku

May 16, 2009

Oleh: Dr^Waqipedia

“Orang yg jiwanya dibersihkan oleh taqwa, fikirannya disucikan oleh iman dan akhlaknya diwarnai dengan kebaikan, pasti ia akan mendapat cinta Allah dan cinta manusia.”


Di hadapan Hospital Likas selepas program I-Care

Suatu cerita yang ingin saya kongsi bersama dengan rakan-rakan, sebuah kisah yang bagi saya boleh memberi sedikit keinsafan kepada jiwa kita yang lalai, mengetuk pintu hati yang keras dek karat-karat jahiliyyah. Ini adalah sebuah kisah daripada pengalaman saya sendiri sewaktu menyertai program FMIG (Fiqh Medical Interest Group) – I-Care di Hospital Likas sewaktu Le Tour de Sabah pada akhir bulan Mei lepas.

Sebelum bercerita dengan lebih lanjut, ingin saya memberitahu pembaca berkenaan program I-Care ini. I-Care adalah suatu program yang dipelopori oleh pelajar-pelajar perubatan UIA Kuantan di mana lawatan-lawatan ke hospital-hospital untuk berjumpa pesakit dan dalam pada masa yang sama memberi panduan dan tunjuk ajar berkenaan ibadah terutamanya solah ketika sakit. Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk menyertai program ini dan Allah Swt telah mentakdirkan saya berjumpa dengan seorang pesakit perempuan. Seorang Muallaf yang telah memeluk Islam pada umur 23 tahun dan pada usianya 27 tahun, Allah Swt telah mengujinya dengan ‘hyatidiform mole’ atau ‘molar pregnancy’. Penyakit ini adalah suatu penyakit yang cukup banyak menular di Sabah dan di Hospital Likas, penyakit ini cukup popular. Ramai pesakit dari serata kawasan di Sabah terutamanya pedalaman yang ditempatkan di sini. Saya melihat faktor persekitaran seperti pemakanan dan pencemaran banyak menyumbang kepada peningkatan kes tersebut.

Nama asal wanita tersebut sewaktu Kristian adalah Martha dan nama Islam nya ialah Nurul (bukan nama sebenar). Saya telah lupa asal usul dia tetapi dia memang berasal dari pedalaman Sabah dan telah berkahwin, mempunyai seorang anak lelaki yang berumur dalam lingkungan 3-4 tahun. Beliau memeluk Islam ketika berumur 23 tahun dek kerana tertarik dengan akhlak rakannya yang beragama Islam. Seingat saya rakannya berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai guru dan telah menetap di Sabah selama beberapa tahun sebelum dipindahkan kembali ke Semenanjung Malaysia.

Ketika saya melawatnya, saya ditemani oleh dua orang rakan daripada UMS, Carol dan Maryam. Kami bertiga sekumpulan dan tugas kami adalah untuk melawat di bahagian O&G. Itu suatu pengalaman baru bagi saya kerana saya hanya pernah melawat wad ini dari jauh sewaktu melawat Hospital Pakar An-Nur, Bangi tetapi dalam program ini saya berkesempatan berjumpa dengan pesakit-pesakit itu sendiri. Bilik-bilik di hospital ini menempatkan 5 katil dan kesemua bilik ini sentiasa penuh. Nurul adalah pesakit pertama yang kami dekati dan pada mulanya, kerana saya lelaki, saya hanya mengambil langkah ‘wait and see’ kerana kesemuanya pesakit wanita. Risaukan jika mereka merasa kurang selesa dengan kehadiran lelaki dalam wad tersebut. Tetapi apabila melihat Maryam dan Carol ‘malu-malu kucing’, saya mengambil keputusan untuk ‘campur tangan’. Dengan memulakan salam, saya mempraktikkan segala gaya dan ‘history taking technic’ yang telah dipelajari dan Alhamdulillah, dia menyambut baik kedatangan saya dan perbualan kami berterusan sehingga boleh saya katakan yang saya mengabaikan keempat-empat pesakit lain.

25-30 minit saya berbual dengannnya, daripada ‘history of presenting illness, past medical history, social history, family history’ sehinggalah kisah hidupnya sebelum dia memeluk Islam. Saya mendengarnya dengan khusyuk kerana ini pengalaman saya bercakap dengan muallaf. Dia memberitahu penderitaan yang dihadapi selama setahun dia menghidap penyakit ini dan bagaimana suaminya bersusah payah berulang alik 2 kali seminggu untuk melawatnya. Dia sedih kerana tidak dapat bersama dengan anak kecilnya biarpun padanya, di usia tersebut dia mahu meluangkan lebih banyak masa bersama anaknya. Saya memahami isi hatinya dan pada masa yang sama, saya cuba memberi kata-kata semangat kepadanya. Saya juga sempat berpesan supaya mengamalkan bacaan Yaasin dan Al-Ma’thurat setiap hari serta jangan meninggalkan solah lima waktu walau apa jua keadaan. Sebelum beredar, saya sempat meninggalkan ‘business card’ saya dan berpesan supaya melawati saya bersama keluarga jika dia sembuh dan berpeluang ke Semenanjung Malaysia.

Sebulan kemudian, pada hari Jumaat, ketika saya sibuk mempersiapkan diri dengan Professional Exam, tatkala saya hampir melupakan memori tersebut, saya dikejutkan oleh panggilan telefon daripada Sabah. Ketika itu, saya baru sahaja selesai menunaikan solah maghrib di Alamanda dan dalam perjalanan ke Food Court. Dengan ucapan salam, seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai suami kepada Nurul (saya ketika itu ingat-ingat lupa, mengiyakan sahaja) dan meminta kebenaran untuk bercakap sebentar dengan saya. Suaranya serak-serak basah tanda menahan sedih. Seterusnya, dia memberitahu khabar kematian isterinya yang meninggal dunia petang tadi. Sehari sebelum meninggal dunia, isterinya sempat berpesan supaya menelefon saya jika terjadi apa-apa kepadanya dan mengucapkan jutaan terima kasih. Saya terperanjat dengan khabar tersebut. Saya sempat bertanya bagaimana keadaan isterinya sebelum meninggal dunia dan dia menjelaskan bahawa dia meninggal dalam keadaan baik. Dia sempat berjumpa dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya dan yang paling penting, dia meninggal di sisi ahli-ahli keluarganya. Saya tidak sempat bertanya dengan lebih detail kerana keadaan sekitar yang bising. Sebelum memutuskan perbualan, saya mengucapkan takziah dan memohon maaf kerana bunyi bising yang mengganggu perbualan kami.

Sehingga tamat Professional Exam, saya cuba melupakan perkara ini seketika. Tetapi sempat saya menulis dan ‘save’ beberapa isi-isi penting ke dalam blog saya dalam bentuk draf supaya apabila saya ingin meng’edit’ nya di kemudian hari lebih senang. Alhamdulillah, setelah hampir 2 minggu, barulah saya berkesempatan untuk menilik kembali data-data tersebut dan merujuk beberapa buah buku untuk dijadikan sebagai ‘reflection’ untuk sebuah kisah hidup yang pastinya diberkati Allah Swt.

——————————————————————————————————————–

Setelah melakukan beberapa rujukan di internet, saya baru menyedari yang ‘molar pregnancy’ yang dihidapinya telah merebak melalui salur darahnya dan menjadi ‘malignant’. Ketika saya melawatnya, dia sedang menjalani rawatan ‘chemotherapy’. Saya kurang pasti apa ‘drugs’ yang diambilnya tetapi itu menandakan penyakitnya telah merebak dan sampai ke tahap ‘choriocarcinoma’. Kematian adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan pada tahap ini dan persediaan untuk itu perlulah ada. Tidak bermakna kita hanya berserah kepada takdir tetapi kematian adalah suatu yang pasti. Dan malaikat Maut tidak akan terlewat walau sedetik pun dalam menjalankan tugasnya – mencabut nyawa manusia.

Sahabat-sahabat yang dikasihi, apabila kita meninggalkan dunia yang fana ini, hanya ada dua pilihan buat kita. Syurga atau neraka. Beruntunglah mereka yang menerima syurga dan rugilah mereka yang terjerumus di lembah neraka. Pada ketika itu, tiada siapa yang mampu menolong kita. Suami? Ayah ibu? Anak-anak? Semuanya ada beban sendiri. Maka, mengapa kita yang menyedari akan hakikat ini, masih lagi terlena dan terbuai oleh kenikmatan dunia, bersenang lenang dengan keluarga dan melupakan tanggungjawab yang Islam letakkan kepada kita.

Sahabat-sahabatku, tatkala kita menghadapi kesusahan atau menghidap penyakit yang serius, apakah yang kita lakukan. Adakah menyalahkan takdir? Adakah meraung-raung kesakitan? Adakah kita terus mengambil ubat dan bergantung seratus peratus kepada ubat tersebut untuk sembuh? Sahabat-sahabatku, jika itu yang kau lakukan, maka kau telah melupakan suatu ubat yang lebih ampuh dan efektif, iaitu kekuatan psikologi dan kekuatan hubungan orang yang sakit dengan Tuhan-nya. Ubat adalah usaha semata-mata dan tawakal kepada Allah Swt adalah teras kepada kekuatan sebenar kita. Penyerahan diri kepada Allah Swt adalah senjata yang paling ampuh. “Hasbiyallahu Wani’mal Wakil”. Maksudnya cukuplah Allah Swt untukku, dan ia adalah sebaik-baik Pelindung. Ayat ini cukup ampuh maksudnya dan kesannya sangat besar. Buktinya, amalkan ia sendiri dan lihatlah kesannya. Insya Allah!!

Sahabat-sahabatku, pernahkah terlintas di fikiran bahawa setiap musibah atau penyakit yang kita hadapi sebenarnya adalah suatu cara untuk Allah Swt menolak dosa-dosa yang yang pernah kita hadapi. Rasulullah Saw bersabda, “Apapun musibah yang menimpa seorang Muslim bahkan duri yang diinjak olehnya, maka akan dihapus dengannya sebagian dari kesalahannya”. Moga dengan rasa sakit ini, perasaan kehambaan, penuh pengharapan,istighfar dan memohon pertolongan daripada-Nya akan bertambah, in English, ‘increasing exponentially’. Kesembuhan adalah suatu kurnia yang agung di dunia tetapi kurniaan Allah Swt yang teragung di akhirat adalah SYURGA, yang hanya didapati dengan kesabaran dan pengharapan kepada Allah Swt. Allah Swt lah di balik setiap kehendak dan Dialah yang menunjukkan jalan.

Sebagai seorang bakal doktor, saya sentiasa cuba untuk mengingatkan diri saya akan kepentingan doa dalam kehidupan seorang doktor. Firman Allah Swt, “Atau siapakah yang memperkenankan doa mereka yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-nya dan yang menghilangkan kesusahan” (Surah Al-Naml:62). Saya mahu menjadi seorang doktor yang mendoakan pesakit-pesakit saya, dan saya tidak mahu berbangga atau merasa tinggi atas kejayaan yang saya dapati. Saya teringat pesanan Dr Hamid Arsyat, pakar perbidanan & sakit puan dalam satu siaran radio. ‘Sewaktu menunggu sebelum memasuki OT dan sela-sela masa ketika membedah pesakit, saya melaksanakan solah 2 rakaat bagi mendoakan kejayaan pembedahan yang saya lakukan dan keselamatan pesakit tersebut’. Kata-kata beliau ini adalah antara pendorong bagi saya untuk menjadi seorang doktor Muslim yang cemerlang. Insya Allah.

Rujukan: “http://www.merck.com/mmhe/sec22/ch252/ch252h.html”

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: